Ahli Dewan Negeri Kajang David Cheong (tengah) bersama Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor (kanan) menyampaikan bantuan tunai kepada mangsa kebakaran di pejabat Dewan Undangan Negeri Kajang pada 9 Januari 2024. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Mangsa kebakaran manfaat bantuan MBI tampung belanja baiki rumah

HULU LANGAT, 9 JAN: Keluarga mangsa kebakaran di Taman Bukit Mewah dan Kampung Sungai Sekamat bersyukur atas sumbangan RM2,000 daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI hari ini.

Mangsa Mohd Amin Sa’arim, 44, berkata wang tunai berkenaan sedikit sebanyak membantunya menampung perbelanjaan membaiki rumahnya di Kampung Sungai Sekamat yang terbakar pada November.

Mohd Amin Sa’arim, 44

“Saya menanggung kerugian sejumlah RM65,000 selepas 40 peratus ruang atas rumah saya terbakar.

“Terima kasih juga kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari atas maklum balas pantas terhadap surat yang saya kirim untuk memohon bantuan akibat musibah ini ,” katanya.

Mohd Amin antara enam keluarga yang menerima bantuan daripada MBI dalam satu majlis di Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, di sini.

Seorang lagi mangsa, Ng Kon Fah, 72, yang terjejas selepas kediamannya di Taman Bukit Mewah terbakar turut meluahkan terharu dan syukur dengan bantuan tunai yang diterimanya.

Ng Kon Fah, 72

“Isteri hubungi saya ada kebakaran sehingga marak ke rumah kami. Apabila sampai, saya terkejut melihat kepulan asap yang tebal di ruangan tamu.

“Saya mengalami kerugian RM20,000 dan bantuan dari MBI akan digunakan menampung kos baik pulih rumah,” katanya.


Pengarang :