EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berucap pada majlis perasmian Program Pembangunan Agropreneur Bantuan Nelayan di Jeti Pengkalan Sungai Sireh, Pelabuhan Klang pada 9 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Gudang makanan di Kuala Selangor jamin bekalan berterusan 

KLANG, 10 JAN: Gudang penyimpanan bekalan stok makanan sebagai persediaan menghadapi sebarang situasi perubahan iklim akan dibuka di Kuala Selangor.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata gudang yang memperuntuk sejumlah RM40 juta itu dibuka di atas tanah seluas lima ekar.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sudah kenal pasti lokasi penyimpanan bekalan makanan di Kuala Selangor dan kini dalam proses menyediakan mekanisme pengurusannya.

“Gudang ini mampu menyimpan bekalan makanan dan memastikan keterjaminan makanan berterusan di Selangor. Tumpuan kita adalah stok bekalan, meningkatkan hasil padi dan tanaman bernilai tinggi antaranya benih dan baka yang beri kesan kepada pertanian.

“Pembenihan dan pembakaan menggunakan teknologi tinggi dan ia menjamin kejayaan dalam pertanian. Kerajaan Negeri memfokuskan kualiti ternakan dan pembakaan anak ayam, kambing, ikan air tawar dan udang,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis serahan bantuan peralatan penangkapan ikan dan bakul makanan kepada nelayan di lima daerah menerusi Program Pembangunan Agropreneur di Jeti Sungai Sireh di sini, semalam.

Tahun lalu, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 Dato’ Menteri Besar memaklumkan RM40 juta diperuntuk bagi mengukuhkan kesediaan stok makanan sebagai persediaan menghadapi sebarang situasi akibat perubahan iklim atau geopolitik.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari usaha itu dijangka dapat meningkatkan stok bekalan makanan antara tiga ke enam bulan.

Katanya, RM40 juta itu adalah peruntukan masing-masing RM20 juta Kerajaan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).


Pengarang :