AGENDAJENAYAH

Akibat kejang kaki pemandu warga asing terbabas, kereta rempuh stesen minyak

IPOH, 10 JAN: Perodua Myvi merempuh cermin sebuah stesen minyak di Taman Canning di sini semalam gara-gara pemandunya lelaki warga Switzerland dikatakan mengalami kekejangan kaki ketika hendak mengisi minyak.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata dalam kejadian 10.30 pagi itu, lelaki berusia 77 tahun tersebut yang berada di satu daripada pam minyak sedang membetulkan kenderaannya untuk mengisi minyak sebelum secara tiba-tiba mengalami kekejangan pada kaki kanan.

“Akibat daripada itu, pemandu berkenaan tidak dapat mengawal kenderaan hingga terbabas ke hadapan lalu melanggar motosikal jenis Yamaha yang diparkir dan merempuh dinding kaca premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, katanya penunggang motosikal berusia 29 tahun tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata kejadian itu turut menyebabkan seorang wanita yang berada di situ cedera di kaki kanan dan kes diklasifikasikan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Video dan gambar kejadian itu tular di laman Facebook sejak petang semalam.

– BERNAMA


Pengarang :