Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyaksikan penyerahan cek cura berjumlah RM7 juta untuk pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Tuisyen percuma medan asah pelajar menuju kecemerlangan

Kerajaan Negeri melaksana pelbagai program pendidikan untuk anak muda, khususnya berpendapatan rendah supaya cemerlang dalam pelajaran.

Antaranya Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), yang keberkesanannya terbukti apabila 215 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mencatat keputusan 8A hingga 11A pada 2022.

Melibatkan calon SPM di 60 sekolah seluruh Selangor dalam PTRS, keputusan 8A diraih 81 pelajar, 9A (68 pelajar), 10A (38 pelajar) sementara 28 calon mendapat 11A.

Diperkenal sejak 2009 dengan nama tuisyen rakyat, 215 calon cemerlang itu antara 10,000 pelajar peserta program berkenaan dari 277 sekolah menengah bawah Kementerian Pelajaran dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sejak 2021.

Program itu mengasah pelajar kurang berkemampuan supaya tidak gagal peperiksaan penting, termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), sebelum dimansuh pada April 2021.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI Selangor Ahmad Azri Zainal Nor menunjukkan buku Tuisyen Rakyat Selangor selepas ditemubual SelangorKini di Pejabat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) pada 31 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita tak mahu dia (pelajar) gagal. Sekurang-kurangnya habis SPM dia ada sijil,” kata Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor.

“Memang kita utamakan (pelajar) yang berada atas pagar (antara lulus atau gagal),” katanya pada 31 Oktober.

Susulan peningkatan bilangan pelajar kerana penyertaan sekolah seliaan Jais, maka syarat diubah pada 2023 dan pelajar daripada keluarga berpendapatan RM5,000 ke bawah sebulan, boleh mengikuti PTRS.

Daripada 215 orang, 65 pelajar Sekolah Agama Malaysia (SAM) Bestari Subang Jaya cemerlang, merangkumi 11 pelajar mendapat 8A. Sementara lapan memperoleh 9A, 25 pelajar (10A) dan 21 pelajar (11A).

Mengikut daerah Jabatan Pendidikan Negeri, Petaling Perdana merekod pencapaian pelajar teramai mendapat 8A dan ke atas iaitu 124 orang, diikuti Klang dengan 42 orang dan Hulu Selangor 16 orang.

Mereka antara 65,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seluruh Selangor menerima enam buku rujukan PTRS yang kandungannya berkualiti.

“Jika tanya mana-mana orang yang berkait pendidikan, buku-buku rujukan kita ini, ada prestij dia. Maknanya orang mesti cari.
“Dulu ada pelajar tak dapat, tak semua pelajar dapat (buku rujukan), (sebab) dulu ada had, 10,000 orang pelajar sahaja, (tapi) mereka sanggup cetak buku tu,” katanya.

Elaun guru

Menerusi dana MBI sebanyak RM7 juta pada 2023, PTRS mengadakan 1,662 tuisyen meliputi enam subjek SPM – bahasa Melayu, Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains dan Matematik Tambahan.

Secara tidak langsung, seramai 1,662 guru juga dipilih mengajar empat jam dalam sebulan atau maksimum 12 jam bagi tempoh tiga bulan untuk satu subjek. Waktu dan tempoh pembelajaran ditentukan pendidik itu sendiri.

Elaun turut disalur kepada 1,956 guru, penyelaras sekolah, kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pasukan khas PTRS. Dana itu juga diguna untuk makan tengah hari dan buku rujukan untuk menjayakan PTRS.

Modul pelajaran disusun panel guru penggubal Jabatan Pendidikan Negeri. Naskhah itu turut menjadi buruan pelajar tidak terpilih menyertai tuisyen berkenaan yang terhad 10,000 orang.

“Kita letak ‘softcopy’ (salinan perisian) dekat (portal) E-PTRS, mereka sanggup cetak daripada situ. Kita tak kenakan hak cipta. (Boleh) cetaklah,” kata Ahmad Azri.

Menurutnya, portal E-PTRS dijenamakan semula daripada Selangor Tutor. Ia mengandungi rakaman video pembelajaran bagi mata pelajaran berkaitan sewaktu perintah kawalan pergerakan.

Azri memaklumkan keputusan menambah sehingga 200,000 pelajar secara berperingkat bermula 2024.

Ia melibatkan pelajar tingkatan empat sebagai persediaan awal menduduki SPM tahun berikutnya, selain menyasarkan murid yang tercicir akibat penutupan sekolah rendah dek Covid-19 pada 2020.

Tindakan itu bagi menunaikan manifesto Pakatan Harapan-Barisan Nasional pada pilihan raya negeri Selangor 2023. Kejayaan PTRS juga mendorong peruntukan tambahan RM3 juta melalui Belanjawan Selangor 2024.

Mengimbau pencapaian PTRS sesi 2021/2022, Ahmad Azri mendedahkan program itu berjaya menarik 48,059 orang kerap melayari video pengajian di portal E-PTRS.

Sebahagiannya 6,948 murid Selangor berdaftar termasuk 3,157 peserta PTRS yang menduduki SPM pada tahun berkenaan.

Pelajar berpotensi cemerlang akan dipilih menyertai program pecutan akhir menjelang SPM, yang diberi tips menjawab soalan dalam seminar anjuran PPD dan panel penasihat PTRS.

 


Pengarang :