EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim meraikan ejen pelancongan dari Thailand yang melawat Anjung Utara di Pejabat ADN Sekinchan, Sabak Bernam pada 9 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Transaksi tanpa tunai di Sekinchan tarik kehadiran pelancong

SABAK BERNAM, 10 JAN: Kaedah transaksi tanpa tunai yang diguna peniaga sekitar Sekinchan sejak setahun lalu menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim, yang juga wakili rakyat kawasan berkata kaedah digitalisasi itu memudahkan urusan jual beli pelancong selain menjamin keselamatan mereka.

“Langkah ini memberi manfaat besar kepada penduduk. Pelancong suka dengan kaedah ini kerana tidak lagi perlu membawa wang yang banyak. Hanya perlukan kad bank atau telefon bimbit, pembayaran selesai.

“Di Sekinchan, kaedah ini bukan hanya dikhaskan untuk pelancong sahaja tetapi turut dimanfaatkan pelajar. Mereka diberikan kad yang mempunyai nilai dan boleh digunakan di sekolah,” katanya.

Beliau ditemui selepas merai kumpulan ejen pelancongan dari Thailand yang mengadakan lawatan ke Anjung Utara bagi melihat tempat menarik sekitar Kuala Selangor hingga Sabak Bernam, semalam.

Awal tahun lalu, Hong Leong Bank Bhd (HLB) dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) memilih Sekinchan sebagai kampung tanpa tunai pertama di Malaysia menerusi program Visit Sekinchan 2023.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB Domenic Fuda memaklumkan pemilihan DUN terbabit berikutan lokasinya yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.


Pengarang :