Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor bersama Ketua Pegawai Eksekutif STDC Mohd Ramali Abu Bakar (tiga, kiri) dan pelajar STDC ketika program pembaikan sistem elektrik dan lampu di Pangsapuri Seri Rinching, Semenyih, Hulu Langat pada 10 Januari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MBI belanja RM13,000 ganti lampu, pendawaian elektrik pangsapuri

HULU LANGAT, 10 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk RM13,000 bagi penggantian lampu dan pendawaian semula elektrik di sebuah pangsapuri di Semenyih.

Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat berkata pihaknya bekerjasama dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) dalam penyediaan tenaga kerja.

“Dalam tempoh tiga hari kira-kira 80 lampu jenis LED (lampu diod pemancar cahaya) dipasang, pendawaian baharu dan semakan kotak agihan (DB) turut dibuat bagi memastikan ia berfungsi dengan baik membabitkan kos keseluruhan kira-kira RM13,000.

“Menerusi kerjasama ini juga kita berjaya jimat kira-kira RM5,000 berbanding sebut harga diberikan kontaktor,” kata Ahmad Azri Zainal Nor ketika meninjau kerja pemasangan di Blok C, Pangsapuri Seri Rinching.

Ketua Pegawai Eksekutif STDC Mohd Ramali Abu Bakar

Beliau menambah usaha itu akan dijadikan modul untuk penyaluran bantuan berkaitan di tempat lain selepas mengambil kira kejayaannya menjimatkan kos selain mengasah kemahiran pelatih STDC.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif STDC berkata program itu melibatkan lima pengajar dan 10 pelatih kursus pemasangan dan penyelenggaraan elektrik tahap dua.

Pengerusi JMB Pangsapuri Seri Rinching Semenyih Rosmi Mohd Yusof

“Program ini memberikan peluang kepada pelajar mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam kelas kepada praktikal,” kata Mohd Ramali Abu Bakar.

Sementara itu, pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Seri Rinching bersyukur kawasan itu akhirnya diterangi cahaya lampu pada waktu malam setelah hampir lapan tahun bergelap.

“Kawasan yang gelap mengancam keselamatan penduduk, banyak kecurian dan vandalisme, jadi bantuan ini sangat melegakan hati kami,” kata Rosmi Mohd Yusof.


Pengarang :