THE HAGUE, 10 JAN: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengesahkan ia sedang menyiasat kemungkinan jenayah perang terhadap wartawan ketika serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza.
Reporters sans frontieres – Reporters Without Borders (RSF) memfailkan aduan jenayah perang dengan ICC berhubung kematian wartawan Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel di wilayah terkepung itu, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Pejabat pendakwa ICC Karim Khan juga memberi jaminan bahawa jenayah terhadap wartawan termasuk dalam siasatannya ke atas Palestin.
“Hari ini, saya mengesahkan siasatan dimulakan Pejabat Pendakwa ICC bagi situasi di Palestin.
“Siasatan ini meliputi jenayah dalam bidang kuasa mahkamah yang didakwa dilakukan dalam situasi itu sejak 13 Jun 2014 tarikh rujukan dibuat dalam rujukan situasi ke pejabat saya,” kata ICC pada Selasa.
Serangan Israel ke atas Gaza setakat ini mengakibatkan kematian 106 wartawan dan petugas media.
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Isnin menyatakan kebimbangan mengenai ‘bilangan tinggi’ wartawan Palestin yang terbunuh di Semenanjung Gaza, susulan kematian terbaharu dua wartawan yang bekerja untuk Biro Gaza Al-Jazeera pada 7 Januari.
– BERNAMA-WAFA