Yayasan Hijrah Selangor menampilkan tenaga pengajar berpengalaman bagi melatih usahawan yang menyertai kelas Strategi Super TikTok di RHR Hotel Kajang selama dua hari bermula 21 Ogos 2023. Foto Yayasan Hijrah Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hijrah sasar RM60 juta biaya usahawan, sedia peluang niaga di Shopee

SHAH ALAM, 10 JAN: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) menyasar pembiayaan sejumlah RM60 juta sepanjang tahun ini bagi melaksanakan semua skim kendalian agensi itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Mearia Hamzah berkata Hijrah Selangor akan meneruskan skim sedia ada bagi membantu lebih ramai usahawan yang memerlukan pinjaman kewangan.

“Kami sentiasa komited untuk membantu usahawan tempatan. Setakat ini, tiada skim baharu yang akan diperkenal tetapi kita akan teruskan dengan apa yang ada,” katanya pada sidang media.

Terdahulu, beliau menghadiri cabutan bertuah Kempen Bayar Balik dan Menang 2023 di pejabat Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) Dato’ Mearia Hamzah (tengah) ditemui pada sidang media Kempen Bayar Balik dan Menang 2023 di pejabat Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Shah Alam pada 10 Januari 2024. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

Tambah Mearia, Hijrah Selangor menekankan untuk membantu usahawan tahun ini bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka khususnya menerusi platform e-dagang Shopee.

Jelasnya, agensi berkenaan sudah memulakan Hijrah Official Store di Shopee bermula September lalu dan mendapat sambutan menggalakkan daripada peniaga juga pembeli.

“Setakat ini, kita sudah ada 19 produk dan akan tambah lagi produk lain pada masa akan datang. Produk yang ditawarkan seperti daging dendeng, sambal dan sebagainya,” katanya.

Orang ramai yang berminat mendapatkan produk usahawan Hijrah boleh berbuat demikian melalui pautan https://shopee.com.my/yhsjana dengan pembelian RM50 ke atas dikecualikan caj penghantaran.

 

 


Pengarang :