Pelajar jurusan elektrik Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) Muhammad Wathiq Irfan Azlan, 20, membetulkan lampu ketika program pembaikan sistem elektrik dan lampu di Pangsapuri Seri Rinching, Semenyih, Hulu Langat pada 10 Januari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

STDC lebar kerjasama dengan industri, jamin kualiti, kebolehpasaran pelatih

HULU LANGAT, 10 JAN: Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) sedia melebarkan kerjasama dengan lebih banyak penggiat industri bagi penawaran kursus jangka pendek untuk pelatihnya.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata usaha itu antara fokus STDC tahun ini bagi melengkapkan pelatih dengan pelbagai latihan kemahiran berkualiti sekali gus menjamin kebolehpasaran pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif STDC Mohd Ramali Abu Bakar

“Sejak tahun lalu kita giat laksana kursus jangka pendek yang dipanggil ‘place and train’ dengan pihak industri yang menjamin penempatan pekerjaan selepas pelajar selesai menjalani kursus.

“Memandangkan konsep ini disambut baik oleh banyak industri, kita akan perkasakan lagi tahun ini dan memperbanyak pengambilan pelajar,” kata Mohd Ramali Abu Bakar.

Beliau ditemui selepas meninjau kerja pemasangan lampu dan pendawaian elektrik sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Blok C, Pangsapuri Seri Rinching, Semenyih hari ini.

Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor bersama Ketua Pegawai Eksekutif STDC Mohd Ramali Abu Bakar (tiga, kiri) dan pelajar STDC ketika program pembaikan sistem elektrik dan lampu di Pangsapuri Seri Rinching, Semenyih, Hulu Langat pada 10 Januari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Mengulas lanjut, Mohd Ramali berkata seramai 500 pelatih disasar mengikuti program kemahiran ditawarkan STDC menerusi empat sesi pengambilan tahun ini.

“Antara kursus yang ditawarkan termasuk teknologi automotif, teknologi motosikal, teknologi elektrik dan teknologi sistem komputer.

“Selain itu teknologi penyaman udara, pastri dan kulinari dengan kemudahan asrama disediakan untuk pelatih,” katanya.

STDC adalah institusi pendidikan teknikal bawah Kerajaan Negeri yang menawarkan pelbagai latihan kemahiran berkualiti dan berdampak tinggi ke arah revolusi industri 4.0.


Pengarang :