Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) Dato’ Mearia Hamzah (tengah) menunjukkan emas seberat lima gram bagi pemenang hadiah utama cabutan bertuah Kempen Bayar Balik dan Menang 2023 ketika sidang media di pejabat Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Shah Alam pada 10 Januari 2024. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

100 usahawan menang cabutan bertuah kempen bayar balik pembiayaan Hijrah

SHAH ALAM, 10 JAN: Seramai 100 usahawan memenangi cabutan bertuah Kempen Bayar Balik dan Menang 2023 anjuran Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Mearia Hamzah berkata kesemua pemenang adalah antara 703 usahawan terpilih yang menyertai program julung kali dianjurkan sejak 1 Januari hingga 18 Disember lalu.

“Kempen ini bertujuan menghargai usahawan atas kesungguhan dan disiplin yang ditunjukan dalam membuat bayaran balik pembiayaan.

“Mereka yang terpilih untuk sertai program ini adalah mereka yang membayar pinjaman setiap minggu tanpa ada sebarang tunggakan,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan cabutan bertuah bagi hadiah utama kempen berkenaan di pejabat Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di sini.

Cabutan dijalankan mengikut dua kategori iaitu kategori 1 bagi pembiayaan RM30,000 ke bawah dan kategori 2 untuk RM31,000 hingga RM100,000.

Antara hadiah yang ditawarkan termasuklah tiket percutian, barangan elektronik selain hadiah utama berupa emas seberat lima gram dan televisyen pintar 50 inci dengan nilai keseluruhan RM20,000.

Pemenang bertuah akan dihubungi wakil Hijrah Selangor dalam tempoh terdekat bagi proses tuntutan hadiah.


Pengarang :