Foto Facebook Ehsan Mart Seksyen 9
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Dapatkan barangan dapur murah di empat cawangan Ehsan Mart

SHAH ALAM, 10 JAN: Orang ramai dipelawa mengunjungi empat cawangan Ehsan Mart kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi membeli barangan dapur murah.

Pengurus Pemasarannya Nur Rashidah Mohamed Raihan berkata walaupun Jualan Ehsan Rahmah (JER) berehat seketika orang ramai masih boleh mendapatkan barangan keperluan tersebut.

“Kita mempunyai lebih 300 produk dipasarkan di Ehsan Mart yang mana 41 daripadanya merupakan jenama Ehsan. Harga di Ehsan Mart tidak sama di lori jualan bergerak tetapi masih kekal murah berbanding pasaran luar.

“Contohnya ayam satu ekor dijual pada harga RM8.10 sekilo dan daging sejuk beku RM14 untuk 900 gram,” katanya kepada Selangorkini.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding pasaran pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Dengkil di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Sepang pada 31 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

JER berehat seketika selama dua minggu dan akan kembali menjelajah ke serata Dewan Undangan Negeri pada 15 Januari.

Ia menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM13).

Selain menganjurkan JER di lokasi terpilih setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Empat cawangan Ehsan Mart:

  1. Wisma PKPS, Seksyen 14
  2. Outlet Ehsan PKPS, Seksyen 9
  3. Outlet Ehsan PKPS, Meru
  4. Kiosk Ehsan, Selangor Fruit Valley

Pengarang :