AGENDAJENAYAH

Sindiket pecah rumah tumpas, dua warga Colombia antara enam ditahan

SHAH ALAM, 10 JAN: Polis menumpaskan sindiket pecah rumah selepas menahan enam individu termasuk dua lelaki warga Colombia, dalam serbuan di beberapa lokasi sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada 3 Januari lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki warga Colombia dan empat warga tempatan termasuk dua wanita yang berusia 45 hingga 62 tahun.

Beliau berkata sindiket itu bergerak aktif sejak Oktober lepas dengan menyasarkan rumah-rumah mewah dan menyamar sebagai penghantar barang bagi mengelak kegiatan dikesan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. Foto Bernama

“Sekiranya rumah itu didapati kosong dan tiada penghuni, mereka akan memecah masuk dan hasil curi akan diserahkan kepada pembeli, iaitu wanita tempatan berusia 55 tahun di sebuah pusat membeli belah sekitar Lembah Klang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Mohd Shuhaily berkata dengan tertumpasnya kumpulan penjenayah itu pihaknya berjaya menyelesaikan 19 kes pecah rumah iaitu 10 di Selangor manakala bakinya di Johor, membabitkan kerugian RM1.9 juta.

Susulan penahanan itu, katanya polis kemudian membuat pemeriksaan di lima lokasi berasingan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dan merampas pelbagai barangan antaranya 64 jam tangan berjenama, 79 jenis barang kemas, 146 keping mata wang asing pelbagai negara serta wang tunai RM1,821.

“Kesemua suspek direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu Mohd Shuhaily berkata polis sehingga kini menerima 75 laporan berhubung gerakan Langkah Dubai setakat pukul 7 pagi tadi, dan ia sedang disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan.

Katanya polis juga sedang meneliti kenyataan penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin dalam video di laman sosial YouTube miliknya yang mendakwa kononnya Ahli Parlimen PAS bakal ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Katanya walaupun tiada laporan polis diterima setakat ini berhubung perkara itu, pihaknya sedang menyiasat kenyataan penulis blog berkenaan, termasuk berkaitan elemen kegusaran awam kerana mengajak orang ramai ke jalan.

– BERNAMA


Pengarang :