EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim bercakap kepada media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Membina Kolam Takungan di Taman Mutiara Bukit Raja, Klang pada 17 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: Projek tebatan banjir Sungai Langat fasa 1 dijangka siap 2027

SHAH ALAM, 10 JAN: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat Fasa 1 sedang dalam proses pengambilan tanah dan dijangka siap pada 2027.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata RTB berkenaan merupakan projek jangka panjang di bawah Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi (TBBT) yang melibatkan kawasan tadahan seluas 1,600 kilometer (km) persegi.

“Antara skop dan komponen projek ini adalah membina ban banjir sepanjang 1.46 km di Sungai Langat (Jalan Kajang Dengkil-kolam Bukit Tampoi); struktur inlet kolam Bukit Tampoi dan struktur connecting culvert menyambung dua kolam Bukit Tampoi.

“Selain itu, turut dibina struktur outlet berserta control gate iaitu menyambungkan kolam Bukit Tampoi ke Sungai Langat, serta ban banjir dan tembok banjir di sekeliling kolam,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Katanya bagi projek RTB Sungai Langat Fasa 2, ia dijangka bermula pada bulan ini dan siap sepenuhnya menjelang 2030.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata kerajaan memperuntukkan RM725.7 juta bagi pelaksanaan projek RTB untuk menyelesaikan masalah bencana itu di kawasan Dengkil sehingga Labohan Dagang di Sepang.

Katanya projek berkenaan merupakan projek jangka panjang di bawah TBBT, akan dilaksanakan di Sungai Langat Fasa 1 dan Sungai Langat Fasa 2 bagi melindungi kira-kira 120,000 penduduk di kawasan itu daripada impak banjir.

– BERNAMA


Pengarang :