Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding pasaran pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Dengkil di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Sepang pada 31 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

JER ditambah baik, sasar lebih ramai penduduk dapat manfaat

SHAH ALAM, 10 JAN: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) anjuran Kerajaan Negeri disusun semula dengan beberapa penambahbaikan agar lebih ramai penduduk mendapat manfaat, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata perbincangan berhubung pelaksanaan program jualan kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu sedang giat dijalankan dan dijangka selesai hujung bulan ini.

“JER akan diteruskan seperti biasa dibawah peruntukan RM10 juta tetapi kali ini dengan menumpukan penganjurannya pada waktu perayaan.

“Bagaimanapun, kita tambah baik JER dengan menyusunnya bersama Program Agro Madani anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Selangor Agro Market dan Jualan Prihatin Rakyat kendalian Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah).

“Kita akan bincang pelaksanaan jualan bagi keempat-empat komponen ini bagi menentukan jadual, lokasi dan masa penganjuran supaya tidak bertindih. Kita mahu jualan ini diperluaskan supaya lebih ramai dapat manfaat,” katanya kepada SelangorKini.

Baru-baru ini, PKPS memaklumkan JER berhenti seketika selama dua minggu dan akan kembali menjelajah ke serata Dewan Undangan Negeri pada 15 Januari.

Jualan murah itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM13).

Selain menganjurkan JER di lokasi terpilih setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.


Pengarang :