Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tiga, kiri) berkenan melawat padang yang baharu ditukar kepada jenis rumput Zeon Zoysia ketika majlis perasmian padang Stadium Nasional pada 12 Oktober 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

MFL hargai sumbangan TMJ bantu kelab atasi isu kewangan, senggara padang

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini menzahirkan penghargaan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, atas perkenan baginda untuk menyumbangkan RM300,000 kepada negeri yang bersetuju menaik taraf padang stadium bagi kegunaan venue Liga Malaysia, menerusi geran Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata sumbangan pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim itu besar maknanya, dalam membantu kelab bola sepak negara mengatasi masalah kewangan bagi kos penyelenggaraan padang.

“Keprihatinan yang ditunjukkan oleh TMJ pastinya akan memberi impak besar kepada Liga Malaysia, khususnya dalam memastikan kelab-kelab Liga Malaysia memiliki stadium dengan kualiti padang terbaik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ab Ghani turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh atas pemberian geran berjumlah RM500,000, iaitu RM300,000 bagi menaik taraf saliran dan RM200,000 untuk penanaman rumput padang kepada setiap negeri.

Beliau berharap inisitiaf yang diterima kesemua kelab bola sepak, mampu mewujudkan perkongsian pintar bersama pihak kerajaan negeri bagi memastikan fasiliti stadium khususnya padang, dapat dinaik taraf bukan sahaja untuk meningkatkan kualiti permainan malah melonjakkan imej Liga Malaysia, kelab serta negeri.

– BERNAMA


Pengarang :