Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari bersama Prof Dr ‘Ali Muhyiddin al-Qarahdaghi. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Syeikh Dr Ali Muhyiddin pemikir unggul, layak terajui Kesatuan Ulama Sedunia

SHAH ALAM, 11 JAN: Dato’ Menteri Besar merakamkan ucapan tahniah kepada ulama terkemuka Syeikh Dr Ali Muhyiddin Ali al-Qaradaghi atas pemilihan sebagai Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyifatkan pemilihan Syeikh Dr Ali membuktikan kealiman dalam pelbagai cabang bidang Islam dan kehebatan ulama tersebut sebagai pemikir unggul merentasi pelbagai bidang.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Syeikh Dr Ali yang baru dipilih sebagai Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, sebuah pertubuhan keilmuan antarabangsa yang berpengkalan di Qatar.

“Beliau telah telah dipilih dengan majoriti oleh wakil dari pelbagai negara bagi penggal 2024-2028.

“Syeikh Dr Ali telah sudi hadir ke Shah Alam pada November lalu bagi satu majlis ilmu dan dalam pertemuan tersebut, beliau menekankan kepentingan perpaduan ummah agar bumi Palestin dapat merasai kebebasan dan kemerdekaan,” katanya di Facebook.

Amirudin turut mendoakan Syeikh Dr Ali dikurniakan kekuatan untuk memikul amanah dalam memimpin pertubuhan itu.

November lalu, Kerajaan Negeri menganjurkan Majlis Ilmu Selangor Madani yang diserikan dengan kehadiran ulama itu di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor.

Program keagamaan itu dihadiri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Haris Kasim, dan EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari.

Kira-kira 200 Jemaah turut mendengar tazkirah selama satu jam oleh Syeikh Dr Ali bertajuk ‘Peranan Ummah Dalam Pembebasan Al Aqsa’ yang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu oleh Ahmad Firdaus Kadir.


Pengarang :