Pengurus Bahagian Korporat Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) Muhammad Hafiz Bahari menyerahkan cek cura Ketua Guru SAR Kafa Integrasi Darussalim Heryanti Saharudin pada 10 Januari 2024. Foto Facebook PWS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Wakaf Selangor serah sumbangan RM40,000 bina tapak perhimpunan sekolah

SHAH ALAM, 11 JAN: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyerahkan sumbangan sebanyak RM40,000 kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kafa Integrasi Darussalim, Batu 7 Sempadan, Sijangkang, Kuala Langat.

PWS memaklumkan di Facebook sumbangan wakaf fisbilillah itu adalah bagi pembinaan tapak perhimpunan berbumbung dan lantai konkrit bagi manfaat warga sekolah berkenaan.

“Serahan cek cura telah disempurnakan Pengurus Bahagian Korporat PWS Muhammad Hafiz Bahari dan Ketua Guru SAR Kafa Integrasi Darussalim Heryanti Saharudin.

“Sesi penerangan wakaf tunai turut disampaikan oleh Ustaz Ibnu Hubain Abdul Aziz selaku Eksekutif Unit Kutipan dan Agihan di Bahagian Korporat PWS kepada semua guru sekolah tersebut,” katanya.

Dalam majlis sama, PWS menambah, para pendidik turut berkesempatan melaksana amalan sunnah wakaf melalui potongan gaji dan secara tunai terus.

Penubuhan PWS yang juga anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (Mais) diwartakan pada 11 Januari 2011 hasil buah fikiran Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Pada 2009, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya Mais menubuhkan PWS agar pengurusan wakaf dapat diperkasa seperti pengurusan zakat.


Pengarang :