SHAH ALAM, 11 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat melanda seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hingga 9 malam ini.
Menurut agensi itu di Facebook cuaca hujan disertai ribut petir dijangka turut melanda beberapa daerah di Pahang, Negeri Sembilan dan Sarawak.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.