Wawancara EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Datuk Rizam Ismail di Saujana Hotel Kuala Lumpur, Shah Alam pada 3 Okt. 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor hasrat semak semula peranan koperasi, bantu operasi

SHAH ALAM, 11 JAN: Kerajaan Negeri bercadang menyemak semula peranan setiap koperasi di Selangor dalam usaha membantu pengoperasian mereka.

EXCO Pengguna Datuk Rizam Ismail berkata langkah itu susulan Selangor memiliki 2,010 koperasi berdaftar, tertinggi berbanding negeri lain di negara ini.

“Ini merupakan pertama kali Kerajaan Negeri ada portfolio koperasi. Jadi, kita akan adakan persidangan dan mengumpul semua koperasi yang ada di Selangor untuk kita lihat bagaimana kita boleh bantu.

“Persidangan itu juga nanti akan dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan akan diadakan dalam tempoh terdekat pada Februari depan,” katanya kepada Selangorkini.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dilaporkan berkata gerakan koperasi berupaya memainkan peranan penting dalam usaha membasmi kemiskinan.

Menurut Datuk Ewon Benedick, gerakan itu mampu menawarkan harga barangan lebih rendah selain melatih ahlinya berkecimpung dalam perniagaan menerusi pulangan dividen.

Rizam menambah, pihaknya juga akan sentiasa memantau harga barangan asas di negeri ini bagi memastikan tiada peningkatan mendadak atau kekurangan bekalan.

“Kita akan terus bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk memantau harga barangan semasa.

“Kita tidak mahu harga melonjak atau kita hadapi kekurangan bekalan khususnya ketika musim perayaan,” katanya.


Pengarang :