PBTSELANGOR

Iklan tular ditarik balik selepas amaran MBSA

SHAH ALAM, 11 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengarahkan visual iklan di struktur papan iklan sebuah syarikat yang disiar tanpa kebenaran dipadamkan.

Jabatan Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata MBSA mengeluarkan surat amaran di bawah Undang-Undang Kecil Iklan (MBSA) 2007 kepada syarikat terbabit agar mematuhi syarat pengiklanan yang ditetapkan.

“Hasil semakan didapati pihak berkenaan sedang menjalankan sesi pengujian ke atas papan iklan tersebut dan memainkan video dalam bahasa Cina tanpa kebenaran MBSA.

“MBSA menasihatkan pihak berkenaan supaya mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum melakukan sesi pengujian kerana ini boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, MBSA memberi permit kebenaran pembinaan struktur paparan iklan luar kepada pihak yang berkenaan bagi tujuan pengiklanan.

“Bagaimanapun MBSA menetapkan syarat kepada pihak tersebut untuk mengemukakan permohonan lesen iklan (visual) kepada Jabatan Pelesenan MBSA berdasarkan spesifikasi yang ditetapkan dan visual perlu mendapat kelulusan daripada MBSA terlebih dahulu sebelum dipaparkan,” katanya.

Sebelum ini tular klip video bertajuk “Welcome to Shanghai Shah Alam Selangor @ China” selama 31 saat yang memaparkan visual iklan berbahasa Cina di tepi jalan didakwa di Shah Alam.


Pengarang :