AGENSISELANGOR

Sidec anjur pesta kebudayaan sempena Tahun Baharu Cina dari 1 hingga 4 Februari

SHAH ALAM, 12 JAN: Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) menganjurkan Pesta Kebudayaan Balik Kampung 2024 sempena Tahun Baharu Cina selama empat hari bermula 1 Februari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sidec, Yong Kai Ping berkata bertempat di Pavilion Bukit Jalil, pesta itu diadakan bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Menurutnya, penganjuran pesta di bawah program Pembangunan Usahawan Mikro Kecil dan Sederhana (BAIK) Selangor itu mendapat kerjasama EXCO Pelaburan, Ng Sze Han dan EXCO Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim.

“Lebih 100 perusahaan kecil dan sederhana yang berasal dari kampung baru akan menyertai program ini dengan mempromosi dan memperkenal produk keluaran masing-masing.

“Menerusi pesta ini, ia menjadi platform kepada usahawan ini berkongsi keistimewaan seni, keindahan alam sekitar kampung baru sekali gus membangunkan sektor perkilangan dan pembuatan serta memperkasa ekonomi masyarakat setempat,” katanya dihubungi SelangorKini.

Tambah Kai Ping, pihaknya menyasarkan 100,000 pengunjung hadir ke pesta yang dianjurkan sehingga 4 Februari itu.

“Pengunjung berpeluang merasai pelbagai citarasa makanan, mendapatkan produk bermutu tinggi, mengenali destinasi pelancongan menarik dan menyaksikan persembahan kebudayaan terunggul Selangor,” katanya.

Program BAIK Selangor diperkenalkan pada Ogos 2021 bagi mengkomersialkan produk diusahakan penduduk kampung baru dan peserta turut diberi latihan berkenaan aspek pemasaran.

Menerusi program itu, RM4 juta diperuntuk tahun lalu berbanding RM3.6 juta pada 2022 bagi menaik taraf kemudahan kampung baru demi keselesaan penduduk.


Pengarang :