Salah seorang calon yang menghadiri temu duga Program Perantisan Aeroangkasa Selangor. Foto Facebook MBI
AGENSISELANGOR

Permohonan program kejuruteraan teknikal perantisan aeroangkasa Selangor dibuka hingga 24 Januari

SHAH ALAM, 12 JAN: Permohonan bagi mengikuti program kejuruteraan teknikal menerusi Program Perantisan Aeroangkasa Selangor 2024 dibuka hingga 24 Januari ini.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memaklumkan penawaran pengambilan segera itu adalah bagi kemasukan sesi April depan.

Katanya program 24 bulan dengan kerjasama syarikat aeroangkasa, GE Engine Services Malaysia Sdn Bhd (GE Malaysia) itu bagi meningkatkan ketersediaan bakat industri sekali gus menjamin kebolehpasaran pekerjaan.

“Ini berita baik untuk rakyat Selangor. Bagi yang layak mohon segera dan jangan lepaskan peluang ini,” katanya menerusi Facebook.

Mengulas lanjut katanya antara kelebihan program itu termasuklah peluang bekerja dengan GE Malaysia, pendedahan kepada industri aeroangkasa, bimbingan daripada pakar industri selain elaun disediakan tertakluk terma dan syarat.

Antara syarat kelayakan termasuklah pemohon dan ibu bapa warganegara Malaysia, lahir dan menetap di Selangor sekurang-kurangnya 11 tahun.

Syarat lain pemohon mestilah memiliki sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda kejuruteraan dalam bidang mekanikal, aeroangkasa, perindustrian atau pembuatan dengan CGPA minimum 3.5 atau lebih tinggi.

Pemohon juga mestilah mempunyai pengalaman bekerja kurang daripada 12 bulan dalam bidang berkaitan. Untuk pertanyaan lanjut hubungi 0169096110 (Firdaus) atau 0173881401 (Asyraf) atau emel [email protected].

Program perantisan aeroangkasa merupakan inisiatif Kerajaan Selangor bagi menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam industri terbabit.

Dilancarkan pada September 2022 program itu bagi mengasah dan memperkasa belia untuk menyertai industri aeroangkasa sekali gus membina rantaian bakat atau tenaga kerja aeroangkasa yang mampan untuk negeri.


Pengarang :