Seramai 14 penunggang motosikal yang ditahan atas pelbagai kesalahan trafik menunaikan solat Subuh berjemaah di Surau Fazwina Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh pada 13 Januari 2024. Foto Facebook Polis Daerah Sungai Buloh
AGENDAJENAYAH

Lepas ditahan 14 penunggang motosikal dibawa ke surau solat Subuh berjemaah

SHAH ALAM, 14 JAN: Seramai 14 penunggang motosikal yang ditahan atas pelbagai kesalahan trafik dibawa ke Surau Fazwina Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk menunaikan solat Subuh berjemaah, semalam.

Jemaah diimamkan Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Sungai Buloh, Inspektor Che Hassan Ambok.

Sebelum itu kumpulan berkenaan ditahan sepasukan pegawai dan anggota BSPT IPD Sungai Buloh dibantu anggota Balai Polis Sungai Pelong dalam Operasi Pencegahan Samseng Jalan di Lebuhraya Guthrie.

IPD Sungai Buloh menerusi Facebook memaklumkan dalam operasi bermula 3 pagi itu, 87 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan 108 penunggang motosikal diperiksa, 14 motosikal disita dan ditahan atas kesalahan tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh serta ubah suai ekzos.


Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Sungai Buloh mengeluarkan 87 saman dalam Operasi Pencegahan Samseng Jalan di Lebuhraya Guthrie pada 13 Januari 2024. Foto Facebook Polis Daerah Sungai Buloh

“Pihak BSPT Sungai Buloh menekankan penguatkuasaan undang-undang jalan raya dan tidak akan berkompromi dengan kesalahan terutama tiada lesen memandu, tiada cukai jalan serta perlindungan insurans.

“Di samping itu, pendedahan kerohanian juga dipraktikkan bagi kesedaran remaja atas kesalahan yang dilakukan. Sayangilah nyawa anda,” katanya.


Pengarang :