Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat portal kecerdasan buatan (AI) Untuk Rakyat yang dirasmikan di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia pada 16 Januari 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM beri tempoh sebulan perkenal portal AI, serah laporan

SERDANG, 16 JAN: Perdana menteri memberi tempoh sebulan mulai hari ini kepada pihak berkaitan bagi menguar-uarkan portal kecerdasan buatan (AI) Untuk Rakyat kepada masyarakat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengarahkan pemimpin dalam setiap sektor untuk menyerahkan laporan kepada Kementerian Ekonomi berhubung pelaksanaan portal pembelajaran kendiri itu.

“Saya beri tempoh sebulan bermula tarikh hari ini untuk laksanakan portal AI Untuk Rakyat. Semua ketua setiausaha, ketua pengarah, naib canselor, mesti hantar laporan kepada Kementerian Ekonomi.

“Jangan tunggu Februari baru hendak mula. Kita mesti mulakan hari ini. Kalau lambat, kita akan tertinggal dan ia merugikan negara,” katanya berucap meluncurkan portal itu di sini, hari ini.

Portal percuma itu dibangunkan bagi mendekatkan jurang literasi digital kepada masyarakat berikutan potensi AI membuka kapasiti produktif bernilai USD113.4 bilion.

Dalam pada itu, perdana menteri turut mengingatkan semua pihak supaya tidak meremehkan tatakelola dan sentiasa mendukung amanah dalam melaksanakan program AI Untuk Rakyat.

Beliau menjelaskan program dengan kerjasama syarikat teknologi terkemuka Intel Corporation itu memerlukan perolehan yang tinggi bagi memastikan ia berjalan lancar.

“Dalam apa jua bidang, jangan remehkan tatakelola. Saya ulas ini kerana ada kecenderungan termasuk daripada golongan elit. Semua ini boleh berhasil kalau diuruskan dengan baik,” kata Anwar.

Portal AI Untuk Rakyat disediakan dalam empat bahasa iaitu bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Tamil serta boleh dimanfaatkan segenap lapisan masyarakat.

Program berkenaan boleh dicapai menerusi pautan www.ai.gov.my bermula hari ini.


Pengarang :