AGENDAJENAYAH

Guru wanita rugi RM2,000 kereta dirempuh dari belakang, beg tangan dilarikan

SANDAKAN, 16 JAN: Guru wanita kehilangan pelbagai barang bernilai RM2,000 apabila beg tangannya dilarikan lelaki yang merempuh kereta dipandunya di persimpangan Jalan Jambatan Merah dan Jalan Utara di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata kejadian berlaku 5.30 pagi apabila kenderaan dipandu guru berumur 47 tahun itu dirempuh kereta Toyota Camry dari belakang, sebelum pemandu kedua-dua kenderaan terlibat bergaduh, dan suspek cuba memukul wanita itu dengan kayu.

“Kedua-duanya bergelut dan suspek kemudian merampas beg tangan guru itu sebelum melarikan diri dengan kereta. Guru wanita itu tidak mengalami kecederaan dan terus ke balai polis Sandakan untuk membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata polis sedang mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian hubungi pegawai penyiasat dengan menelefon 013-9071709 bagi membantu siasatan.

– BERNAMA


Pengarang :