Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof merasmikan dan menandatangani plak pelancaran Pelan Anti Rasuah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di Masjid Negeri, Shah Alam pada 17 Januari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Mais lancar pelan antirasuah, cegah salah laku termasuk di masjid

SHAH ALAM, 17 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) hari ini melancarkan pelan antirasuah 2024-2026 dengan menggariskan lima bidang utama bagi membentuk warga kerja berintegriti.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menjelaskan pelan tersebut meliputi pengurusan pentadbiran, perolehan, projek, agihan dan sumbangan baitulmal untuk menyokong agenda terbabit.

Beliau berkata rancangan yang menekankan pencegahan rasuah dalam agensi Islam terutama seluruh warga Mais dan anak syarikat turut melibatkan institusi masjid, surau dan sekolah agama.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berucap ketika majlis pelancaran Pelan Antirasuah Mais di Masjid Negeri, Shah Alam pada 17 Januari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Justeru, saya menyeru pelan ini dipatuhi semua dalam memastikan institusi agama Islam di Selangor sentiasa cekap, telus dan berintegriti.

“Saya menegaskan peningkatan kawalan aspek pengauditan serta risiko dalaman dan luaran bagi memastikan kredibiliti dan integriti organisasi sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau berucap dalam majlis perutusan pengerusi Mais 2024 dan pelancaran pelan antirasuah di Dewan Syarahan dan Muzakarah di Masjid Negeri di sini hari ini.

Mais turut menyampaikan sumbangan RM300,000 kepada Universiti Islam Selangor, Maahad Tahfiz Islam Selangor Alam Impian (RM100,000) dan Tabung Infaq Jariah Umat Islam Selangor (RM98,423).

Turut menerima sumbangan ialah Jabatan Mufti Selangor (RM50,000), Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (RM50,000), Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Agama Menengah Parit Baru (RM10,000) dan Sekolah Rendah Agama An-Nur Kanchong Tengah (RM10,000).

“Sumbangan menggunakan peruntukan baitulmal ini bertujuan membantu melancarkan operasi dan aktiviti pengimarahan Islam khususnya di Selangor,” kata Abdul Aziz.


Pengarang :