Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Youth Community Aiman Syfiq Nazri (dua, kanan) menyampaikan cek cura kepada Ketua Kumpulan Kamikaze Adventure Team Azam Mohd Shidid (tiga, kiri) di pejabat Selangor Youth Community, Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 17 Januari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Raih tempat ketiga kejohanan sukan lasak di Filipina, empat atlet ditaja SAY

SHAH ALAM, 17 JAN: Empat atlet negara dari Kamikaze Adventure Racing Team menerima tajaan RM10,000 daripada Selangor Youth Community (SAY) selepas memenangi tempat ketiga pada kejohanan sukan lasak bertaraf antarabangsa di Filipina.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Aiman Syafiq Nazri tajaan itu diberikan bagi merai kemenangan dan menghargai prestasi luar biasa mereka pada kejohanan di Pulau Biliran yang berlangsung 20 hingga 24 November lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Youth Community Aiman Syfiq Nazri. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Lebih membanggakan, pasukan yang ditaja oleh SAY ini merupakan pasukan terbaik di rantau Asia dengan mengatasi pasukan gergasi yang mempunyai kedudukan ranking lebih baik seperti Jepun dan India.

“Kami sangat bangga dapat menyokong atlet ini dan mencapai pencapaian yang luar biasa di pentas dunia. Kami berharap kejayaan ini dapat memberikan inspirasi kepada lebih ramai anak muda di luar,” katanya.

Beliau ditemui pada program pemberian insentif atlet Malaysia ke kejohanan La Routa Adventure Race Asia Championship 2023 di Bangunan Darul Ehsan, di sini hari ini.

Muhammad Amirul Eksekutif Sukan SAY Aiman Mohd Noor. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Eksekutif Sukan SAY Muhammad Amirul Aiman Mohd Noor berkata tajaan untuk menggalakkan dan memberi inspirasi kepada lebih ramai belia untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan lasak.

“Mengikut titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah selaku pengasas SAY untuk kami terokai sukan lain membangunkan bakat belia selain bola sepak dan basikal.

“Susulan kejayaan empat atlet negara ini juga kami merancang untuk mempromosi sukan ini dengan kerjasama mereka menganjurkan program latihan dan bengkel di sekolah sukan seluruh negeri,” katanya.

Ketua Kumpulan Kamikaze Adventure Team Azam Mohd Shidid (dua, kanan) ketika sidang media di pejabat Selangor Youth Community, Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 17 Januari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

November lalu, empat atlet negara diwakili Azam Mohd Shidid, Mustika Ayuni Mustofa, Muhammad Mussadiq Samsudin dan Muhammad Irwan Yusof Abdullah meraih tempat ketiga pada kejohanan sukan lasak La Routa Adventure Race Asia Championship 2023 di Pulau Biliran, Filipina.

Setiap pasukan perlu menghadapi tujuh disiplin cabaran seperti mountain biking (berbasikal gunung), larian, mountaineering hiking (mendaki gunung), orienteering (sukan rekreasi guna kompas dan peta), berenang, berkayak dan abseilling (panjat bukit bertali) sepanjang kejohanan sejauh 350 km.

Kejohanan itu disertai 16 pasukan luar negara seperti New Zealand (Juara), Poland (Naib Juara), Jepun, India, Filipina dan Indonesia.


Pengarang :