PBTSELANGOR

MDSB buka ruang niaga dalam Ekspo Raya mulai 22 Mac

SHAH ALAM, 18 JAN: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menyediakan ruang dan peluang kepada peniaga untuk menyertai Ekspo Raya 2024 selama 20 hari mulai 22 Mac di Stadium Sungai Besar.

Unit Korporat dan Perhubungan Awamnya memaklumkan borang permohonan untuk menyertai ekspo yang berlangsung hingga malam sambutan Aidilfitri boleh didapati di Jabatan Pelesenan mulai 24 Januari.

Dijual pada harga RM20 tanpa cagaran untuk satu borang, MDSB berkata pemegang permit dilarang menyewakan premis atau tapak kepada pihak lain dan boleh dikompaun jika berbuat demikian.

“Pengendali makanan pula diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan suntikan antitifoid selain menjalani kursus yang diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Mereka juga diwajibkan memakai pelitup muka, apron, tudung kepala dan kasut ketika menjalankan perniagaan,” kata unit berkenaan dalam kenyataan media, baru-baru ini.

Tegas pihak berkuasa tempatan itu, hak cagaran atau permit boleh dilucut dan dibatalkan serta-merta jika peniaga gagal mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.

Syarat permohonan lain seperti berikut:

1. Tidak dibenarkan menghalang atau mengganggu lalu lintas dan pergerakan bebas pejalan kaki
2. Menjaga kebersihan tapak niaga dan mengikat kemas sampah dalam beg plastik untuk kutipan
3. Dilarang menyebabkan kacau ganggu (asap, bau, haba, pancaran, bunyi) kepada orang ramai
4. Mematuhi syarat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna
5. Jualan mercun atau bunga api perlu mendapat kebenaran polis

 


Pengarang :