Air Selangor membuat hebahan menyeru penduduk negeri ini memohon Skim Air Darul Ehsan bagi mendapatkan air percuma. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Negeri tampung skim air percuma, rumah ibadah RM40 juta

SHAH ALAM, 18 JAN: Kerajaan Selangor menyerap sebahagian tarif baharu air dianggar RM40 juta setahun untuk penerima Skim Air Darul Ehsan (SADE) selain rumah ibadah dan kebajikan.

Dato’ Menteri Besar menjelaskan lebih sejuta rakyat atau 285,673 akaun penerima air percuma itu menerima tanggungan kos yang meningkat RM1.60 kepada RM13 bagi setiap isi rumah.

Dato’ Seri Amirudin Shari menambah pentadbiran negeri menampung peningkatan kos dari RM31.8 juta kepada RM37.3 juta setahun, manakala RM2 juta untuk rumah ibadah dan kebajikan.

“Secara keseluruhan, tanggungan kos Kerajaan Negeri bagi pemberian air percuma melalui SADE dan penyerapan peningkatan tarif air rumah ibadah dan rumah kebajikan dianggarkan RM40 juta setahun.

“(Selain itu), jumlah yang diperuntuk dalam Belanjawan Selangor 2024 bagi bantuan air percuma adalah mencukupi bagi manfaat dan kemaslahatan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin menambah pelarasan itu juga membolehkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menggandakan penggantian paip usang daripada 150km kepada 300km setahun bermula tahun ini.

Jelasnya, pembinaan loji rawatan air baharu turut diperkukuh bagi meningkatkan margin rizab air kepada 20 peratus menjelang 2030, termasuk melipatganda penyelenggaraan paip baharu di kawasan bertekanan rendah.

“Selain itu, tahap kualiti air yang disampaikan kepada rakyat dapat terus dikekalkan pada 99 peratus mengikut piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kerajaan Negeri melalui Air Selangor juga akan memantapkan kualiti perkhidmatan yang lebih responsif dan efisien kepada rakyat termasuk penaiktarafan aplikasi Air Selangor,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru rakyat berpendapatan RM5,000 ke bawah dan ingin memohon air percuma untuk melayari laman web https://www.airselangor.com/residential/skim-air-darul-ehsan/.


Pengarang :