BUDAYARENCANA

Perihal catan surealisme dan pesona akal bawah sedar

Oleh Muhd Syafiq Fawwaz Muhd Abdul Aziz
Iliustrasi FAHMI MUSTAFFA

Aliran seni surealisme adalah gaya seni lukis dan sastera moden yang pesat dibangunkan di kota Paris selepas Perang Dunia Pertama. Surealisme bermaksud ‘melampaui realisme’ atau ‘melebihi alam realiti’. Ia gerakan para intelektual kesusasteraan dan seni lukis yang telah diasaskan oleh penulis dan penyair Andre Breton (1896-1966) pada tahun 1924.

Seniman aliran ini menggunakan perkataan surealisme kerana mereka percaya alam mimpi tidak berbeza daripada alam realiti, malah alam mimpi lebih nyata. Sesetengah imej dan subjek dalam karya yang dihasilkan kelihatan seperti sesuatu yang mustahil berlaku dalam kehidupan realiti kerana hanya berlaku dalam alam mimpi. Suatu kepercayaan baru bagi para seniman surealisme, pelukis tidak lagi memikirkan apa yang mereka lukiskan. Mereka hanya membiarkan pensil atau berus berjalan-jalan di tangan mereka secara automatik untuk melihat apa yang akan berlaku dalam karya.

Paling penting, seniman surealisme menyukai apa-apa yang kelihatan ajaib, luar biasa atau mengejutkan. Misalnya, catan manusia tanpa wajah, atau kombinasi objek yang aneh.

Selain mimpi, seniman aliran surealisme berminat dengan elemen kegilaan, memori, peluang dan kebetulan. Mereka suka memilih objek harian dalam tetapan yang tidak dijangka, dan menggabungkan idea serta imej yang jelas sangat berbeza. Sebagai contoh, objek semula jadi seperti buah dan haiwan boleh digabungkan menjadi bentuk abstrak. Para seniman aliran ini berusaha untuk meninggalkan pemahaman logik akal antara batasan normal dengan wadah yang lebih fantastik. Visual tentang visi mimpi ngeri, atmosfera yang tidak harmoni serta tidak sesuai dengan kewujudan manusia di alam realti, diterjemahkan ke dalam karya.

Pemberontakan fikiran

Kelahiran aliran seni ini dalam kesusasteraan dan seni lukis juga memperlihatkan elemen yang tidak rasional, paradoksikal serta absurd. Di samping itu, aliran ini lahir dari pemberontakan dan pemikiran seniman aliran sebelum itu iaitu Dadaisme. The Surrealist Manifesto yang ditulis oleh Andre Breton telah diterbitkan pada tahun 1924 dan diterbitkan untuk kali kedua pada tahun 1930. Menurut Andre Breton, beliau berpendapat seni seharusnya beralih daripada realiti peperangan, politik dan daya kerja yang membebankan. Sebaliknya, Andre Breton percaya mimpi elemen paling penting dalam penghasilan sesuatu karya seni juga dalam konteks kehidupan. Andre Breton memberikan penekanan kepada analisis dan simbol mimpi yang diperkenalkan oleh Sigmund Freud dalam bukunya The Interpretation of Dream’ (1899).

Dari sudut intelektual, Sigmund Freud figura penting dan berpengaruh dalam perkembangan aliran seni surealisme. Beliau meneroka akal bawah sedar dan alam mimpi untuk terapi kejiwaan. Oleh sebab itu, seniman aliran surealisme terpesona dengan konsep akal bawah sedar sebagai medan khayalan dan mengaplikasikan teori Freudian sebagai cara untuk memanifestasikan peristiwa yang berlaku dalam akal bawah sedar.

Maka, aliran seni ini turut mengambil sudut pandang daripada teori Psikoanalisis yang diasaskan oleh Sigmund Freud. Hakikatnya, Sigmund Freud tidak menghargai karya seni seniman surealisme, Walau bagaimanapun, mereka menyatakan pentingnya akal bawah sedar, halusinasi, mimpi serta keberadaan dalam keadaan khayal boleh memberi inspirasi dalam menghasilkan karya. Seniman surealisme tertarik dengan idea bawaan Sigmund Freud mengenai kegelisahan (‘anxiety’), ‘fetishes’, ‘the uncanny’ serta bagaimana memanifestasikan diri secara simbolik dalam alam mimpi. Seterusnya, apresiasi seni melibatkan disiplin ilmu dan pemahaman tentang keseluruhan proses seni itu sendiri. Penglibatan antara seniman, karya dan apresiasi seni adalah jaringan yang amat penting.

Obses memori

Seniman Perancis, Raymond Georges Yves Tanguy (disebut ‘tong-ee’), dilahirkan di kota Paris pada 5 Januari, 1900. Yves Tanguy memulakan kerjaya sebagai pelukis pada usia 22 tahun. Segalanya bermula seakan magis setelah beliau melihat dua catan cat minyak milik Giorgio de Chirico. Salah satu karya catan de Chirico yang membuatkan Tanguy terpegun adalah ‘The Child’s Brain’. Karya catan Tanguy mempunyai subjek dan bentukan organik yang terdampar pada permukaan landskap tandus. Makhluk-makhluk berbentuk seperti amorfus juga menonjol dalam karya-karyanya. Simbolisme dalam karya-karya catan Tanguy bersifat peribadi dan surealistik.

Malahan, cerminan obsesinya terhadap memori waktu kecil, mimpi, halusinasi dan pengalaman psikosis diterjemahkan ke dalam karya catan cat minyak. Andre Breton berpendapat signifikan karya-karya catan surealisme Yves Tanguy kerana perihal penolakannya untuk berkompromi dan ada ketikanya beliau seperti menyimpan rahsia. Sementara itu, karya catan landskap alam mimpi Yves Tanguy mempunyai keseimbangan antara realisme dan fantasi. Seperti kelaziman seniman surealis, Yves Tanguy membebaskan akal bawah sedarnya untuk menghasilkan catan metafizikal hasil terjemahan alam mimpi yang sarat enigma dan misteri.

Karya-karya catan beliau antaranya ialah seperti ‘Mama, Papa is Wounded!’ (1927), ‘The Dark Garden’ (1928), ‘Day of Slowness’ (1937), ‘The Five Strangers’ (1941) dan ‘Indefinite Divisibility’ (1942). Kesimpulannya, seperti juga seniman seangkatan dari aliran Surealisme antaranya Salvador Dali, Max Ernst dan Joan Miro, Yves Tanguy juga telah memberikan sumbangan kepada perjalanan dunia Seni Moden.

Justeru, apresiasi terhadap karya-karya catan Yves Tanguy adalah seperti memberikan penghayatan kepada karya seni yang dihormati. Disiplin dalam menghargai karya seni catan telah diperkenalkan melalui Sejarah Seni dalam membimbing penghayat untuk membuat apresiasi. Beberapa aspek seperti estetika, semiotik, ikonografi dan psikologi dapat membantu dalam membuat penghargaan dan membaca sesebuah karya catan. Akhir sekali, melalui apresiasi seni, karya catan dapat dihargai bukan hanya dari aspek formalisme, malah dapat ditinjau daripada sudut psikologi.

 

 


Pengarang :