Orang ramai berbelanja di Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pasar raya Segi Fresh Telok Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penerima bantuan tunai bertambah kepada 700,000, naik tiga kali ganda

SHAH ALAM, 19 JAN: Seramai 700,000 penerima bakal mendapat manfaat program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) 2024 mulai 22 Januari ini, bertambah tiga kali ganda berbanding tahun lalu.

Menurut Kementerian Kewangan, peruntukan bagi menambah baik dan mengangkat taraf ekonomi golongan rentan meningkatkan kepada RM700 juta berbanding RM130 juta tahun lalu melibatkan 210,000 penerima.

”Ini melibatkan peningkatan peruntukan lebih lima kali ganda berbanding tahun lepas. Di bawah program ini, penerima yang layak boleh membeli barang keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai runcit berdaftar.

“Kelayakan menerima bantuan Sara berasaskan status kategori miskin dan miskin tegar dalam pangkalan data e-Kasih iaitu data rujukan untuk kementerian dan agensi kerajaan,” katanya menerusi kenyataan.

Kementerian memaklumkan program subsidi bersasar kali ini diperluas kepada golongan miskin selain peningkatan nilai bantuan isi rumah kepada RM1,200 serta boleh diguna untuk barangan kebersihan diri, ubat dan persekolahan.

Jelasnya, rangkaian kedai runcit serta pasar raya juga meningkat kepada 515 buah berbanding 424 premis tahun lalu bagi memudahkan penerima berbelanja.

“Pelaksanaan berperingkat mulai Isnin ini membabitkan penerima di Semenanjung manakala bantuan tunai untuk penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan bermula 19 Februari.

“Bagi penerima di Semenanjung, bantuan RM100 akan disalurkan setiap bulan untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM50 untuk golongan bujang.

“Penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan akan menerima bantuan Sara dua kali setahun, iaitu RM600 pada 19 Februari dan baki 12 Ogos manakala bujang dikreditkan ke akaun bank atau secara tunai pada tarikh sama,” katanya.


Pengarang :