EXCOSELANGOR

Tayangan skrin besar aksi Harimau Malaya sempena Piala Asia di Shah Alam

SHAH ALAM, 19 JAN: Pejabat EXCO Sukan mengambil inisiatif menganjurkan tayangan skrin besar bagi membolehkan warga Shah Alam memberikan sokongan kepada pasukan Harimau Malaya sempena Piala Asia 2023 di Qatar.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata tayangan diadakan di Restoran Hakim, Seksyen 7, di sini pada aksi Malaysia – Bahrain 10.30 malam esok (majlis bermula 8 malam) diikuti Malaysia – Korea Selatan pada 25 Januari, 7.30 malam (majlis bermula 5 petang).

“Ayuh kita zahirkan sokongan kepada pasukan Harimau Malaya di program tayangan skrin besar Piala Asia 2023 anjuran pejabat EXCO Sukan Negeri Selangor pada 20 dan 25 Januari ini di Restoran Hakim, Seksyen 7.

“Baucar makanan disediakan untuk 200 orang terawal, jika tak dapat baucar makanan, insya-Allah masih berpeluang menang cabutan bertuah,” katanya di laman X.

Skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon meneruskan saingan Kumpulan E Piala Asia menentang Bahrain esok diikuti aksi bertemu Korea Selatan pada 25 Januari ini (Khamis).

Isnin lalu Harimau Malaya tewas kepada Jordan 0-4 pada aksi pembukaan Kumpulan E dan esok berdepan Bahrain dalam perlawanan kedua di Stadium Jassim Bin Hammad.

Ini kali keempat Malaysia beraksi di Piala Asia selepas layak secara merit pada edisi 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait serta ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.


Pengarang :