Anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan cedera selepas dirempuh sebuah kereta yang melarikan diri ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Op Pengarah JPJ Kelantan di Jalan Kuala Krai – Kota Bharu, pada 19 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Anggota JPJ cedera dirempuh, pemandu kereta lari sekatan jalan raya

KOTA BHARU, 20 JAN: Anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan cedera selepas dirempuh kereta yang melarikan diri ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Op Pengarah JPJ Kelantan di Jalan Kuala Krai – Kota Bharu di sini malam tadi.

Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata Mohamed Azrin Abdul Wahab, 43, dirempuh kereta Perodua Kancil berwarna perak kira-kira 9 malam di SJR berhampiran Akademi JPJ Wilayah Timur.

“Kita dah kenal pasti pemilik kereta berdasarkan nombor pendaftaran dan laporan polis akan dibuat, insya-Allah dengan bantuan polis kita akan buat tangkapan dan kenderaan berkenaan akan disita,” katanya selepas meninjau operasi itu.

Terdahulu, kereta Perodua Kancil yang dipandu seorang lelaki itu dilihat cuba melarikan diri namun gagal apabila enjin kereta tiba-tiba gagal berfungsi, lalu seorang anggota JPJ yang berada di bahagian belakang kereta mengarahkan pemandu itu untuk masuk ke dalam kawasan Akademi JPJ Wilayah Timur bagi pemeriksaan lanjut.

Kereta Perodua Kancil yang dipandu seorang lelaki cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) Op Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan di Jalan Kuala Krai – Kota Bharu pada 19 Januari 2024. Foto BERNAMA

Apabila pemandu itu berjaya menghidupkan semula enjin kereta, suspek terus meluru ke arah Mohamed Azrin yang berada di hadapan kenderaan itu dan mangsa bertindak melompat ke atas bahagian bonet hadapan kereta sebelum terjatuh di tepi kenderaan itu.

Mengulas lanjut, Mohd Misuari berkata Mohamed Azrin yang cedera pada tangan dan kaki telah mendapatkan rawatan dan berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Mohd Misuari berkata Op Pengarah JPJ Kelantan melibatkan 76 JPJ, Jabatan Alam Sekitar Kelantan dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan telah melakukan pemeriksan terhadap 569 kenderaan dan 113 diambil tindakan.

“Sebanyak 188 notis dikeluarkan melibatkan 132 notis saman, notis larangan penggunaan kenderaan (20), notis arah periksa kenderaan (20) dan notis penahanan kenderaan (16),” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :