AGENSISELANGOR

Juwairiya kini timbalan pengerusi LPPKN, tumpu sebar luas manfaat agensi

SHAH ALAM, 20 JAN: Pelbagai program kemasyarakatan bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan disebar luas bagi manfaat ramai, kata timbalan pengerusinya.

Baharu menggalas jawatan itu, Juwairiya Zulkifli komited memastikan kemudahan yang disediakan agensi berkenaan sampai kepada golongan sasar untuk membentuk keluarga yang sejahtera.

Mantan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati itu bersama pasukannya juga akan lebih kerap turun padang untuk menguar-uarkan kepada masyarakat berhubung inisiatif yang dilaksanakan.

“Adakalanya terdapat segelintir masyarakat tidak tahu wujudnya klinik subfertiliti bawah LPPKN bagi membantu pasangan berusaha mendapatkan cahaya mata dengan kadar murah berbanding swasta .

“Kita juga ada pusat keluarga Klinik Nur Sejahtera dan perkhidmatan Mama Care iaitu penjagaan wanita selepas bersalin. Ini antara yang akan disebarluaskan supaya lebih ramai tahu,” katanya.

Juwairiya menambah LPPKN juga akan membuat laporan pada setiap 10 tahun, yang akan dibentang November tahun ini berhubung kadar pertumbuhan rakyat Malaysia.

Beliau menjelaskan laporan berkenaan penting sebagai rujukan semua pihak termasuk agensi dan kementerian berkaitan dalam membentuk dasar tertentu pada masa depan.

“Setiap 10 tahun agensi ini memang akan mengeluarkan laporan yang menumpukan keibubapaan dan kekeluargaan, kebetulan tahun ini sudah tiba masa kita keluarkan laporan baharu,” katanya.


Pengarang :