Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (depan, tengah) melihat cerun bukit yang terjejas akibat banjir di laluan Johor Bahru – Endau ketika lawatan kerja di Johor pada 20 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kementerian sedia RM113 juta senggara jalan, cerun negeri terjejas banjir

KOTA TINGGI, 20 JAN: Kementerian Kerja Raya (KKR) meluluskan permohonan RM113 juta bagi menyelenggara jalan dan cerun di negeri terjejas banjir pada Monsun Timur Laut ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata penyelenggaraan jalan di 81 lokasi secara keseluruhan melibatkan kos RM57.6 juta manakala cerun RM55.4 juta di 48 lokasi.

Beliau berkata pecahan peruntukan itu antaranya melibatkan empat negeri yang terjejas teruk iaitu Johor RM30.17 juta, Kelantan (RM34 juta), Pahang (RM28.3 juta) dan Terengganu (RM11.3 juta), manakala bakinya melibatkan beberapa negeri lain.

“Semua permohonan ini telah dibuat kajian dan diambil kira anggarannya termasuk dari sudut teknikal, semua kerja yang akan dijalankan adalah lengkap dan kita telah meluluskan (peruntukan),” katanya pada sidang media selepas meninjau laluan FT003 Jalan Johor Bahru-Endau berhampiran Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di sini hari ini.

Beliau berkata penyelenggaraan akan dilakukan segera dengan mengambil kira keadaan cuaca semasa.

“Kita ingin kerja ini dibuat cepat, kalau boleh buat sekarang, tetapi keadaan sekarang kita lihat masih ada lagi hujan di negeri terlibat.

“Bagaimanapun, kita akan buat yang terbaik dan sempurna untuk kebaikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata terdapat empat lokasi laluan membabitkan Jalan Kota Tinggi-Mersing turut dinaik taraf dengan kos RM120 juta.

Sementara itu, Nanta berkata dua permohonan projek di Johor akan dimasukkan bagi Rolling Plan kelima Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Beliau berkata ia membabitkan projek naik taraf Jalan Kota Tinggi-Mersing dengan kos RM6 juta dan penggantian jambatan Sungai Semaloh di Kluang dengan kos RM30 juta.

– BERNAMA


Pengarang :