Lelaki berusia 37 tahun ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai membuang helaian dan cebisan al-Quran di Jalan Besar Palong, Jempol pada 20 Januari 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Lelaki dipercayai koyak, buang helaian al-Quran di jalan raya ditahan

JEMPOL, 21 JAN: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki membuang helaian dan cebisan al-Quran di Jalan Besar Palong dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata tangkapan dilakukan selepas polis menerima tiga laporan polis berhubung kejadian itu.

“Polis menerima laporan daripada seorang wanita memaklumkan ternampak lelaki menaiki motosikal melemparkan helaian dan cebisan al-Quran yang dikoyakkan di tepi Jalan Besar Palong semalam. Selain itu, polis turut menerima dua laporan penemuan helaian dan senaskhah al-Quran di jalan raya.


Senaskhah al-Quran ditemui pada lelaki berusia 37 tahun yang ditahan selepas dipercayai membuang helaian dan cebisan kitab suci itu di Jalan Besar Palong, Jempol pada 20 Januari 2024. Foto Facebook BERNAMA

“Suspek ditahan bersama senaskhah al-Quran dan hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hoo berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek berumur 37 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai dua rekod kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan satu rekod di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.


Antara helaian dan cebisan al-Quran yang ditemui di Jalan Besar Palong, Jempol pada 20 Januari 2024. Foto Facebook BERNAMA

Permohonan reman terhadapnya akan dibuat di mahkamah di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A dan 427 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :