Oleh NAS NORZIELA NASBAH
SHAH ALAM, 21 JAN: Tempahan slot program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbandanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) telah penuh sehingga Februari ini.
Penyelia Unit Jualan Muhammad Farid Mustafa berkata pihaknya menerima banyak permohonan namun perlu menyaring lokasi penganjuran bagi memastikan ia bersesuaian serta mudah dikunjungi.
“Permohonan diterima secara dalam talian diluar jangka namun PKPS tidak boleh terus menerima semua permohonan. Pihak kami kena teliti pelbagai perkara terlebih dahulu sebelum meluluskan permohonan.
“Antara syarat permohonan ialah penganjur perlu menyediakan kemudahan seperti khemah, kerusi, meja dan kawasan sesuai untuk lori PKPS,” katanya kepada Selangorkini selepas meninjau program JER di Masjid Ubudiyyah, Seksyen 19 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata PKPS sentiasa memastikan produk yang dibawa di setiap lokasi penganjuran segar dan berkualiti meskipun dijual murah berbanding harga pasaran.
“PKPS sentiasa menekankan kualiti, kita mahu pastikan pengunjung yang datang berpuas hati dengan barangan yang dijual,” katanya.
Sebelum ini, PKPS memaklumkan semua pihak seperti wakil rakyat, ketua kampung, pihak berkuasa tempatan, ahli majlis atau jabatan kerajaan boleh memohon penganjuran jualan murah secara dalam talian.
Pemohon boleh mengimbas kod QR di bawah atau klik pautan https://forms.gle/3xE6acRZRv17X2zT6