AGENDAJENAYAH

Polis tahan lima lelaki, rampas rokok seludup nilai RM750,000

KOTA BHARU, 21 JAN: Polis menahan lima lelaki dan merampas sejumlah rokok putih disyaki seludup bernilai RM750,000 termasuk cukai dalam Op Kontraban, semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kesemua yang berusia antara 27 hingga 59 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Simpang Empat Kampung Pauh Panji dan Kampung Panji, di sini.

“Tiga daripada mereka ditahan kira-kira 3.45 pagi di dalam sebuah kereta Perodua Kembara di Simpang Empat Kampung Pauh Panji.

“Hasil pemeriksaan terhadap sebuah lori di hadapan sebuah kedai di kawasan sama menemukan lebih kurang 300,000 batang rokok putih dipercayai tidak bercukai dianggar bernilai RM225,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan penahanan ketiga-tiga lelaki itu, polis membuat serbuan di kawasan berhampiran dan berjaya menahan seorang lagi lelaki.

Muhamad Zaki berkata lelaki terakhir yang berusia lingkungan 20-an ditahan di Kampung Panji kira-kira 3.30 petang, pada hari sama.

Beliau berkata hasil soal siasat terhadapnya, polis memeriksa sebuah lori di Kampung Padang Mokkan, di sini dan menjumpai kira-kira 700,000 batang rokok putih dianggar bernilai RM525,000 termasuk cukai.

Kesemua lima lelaki terbabit, katanya akan direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

— BERNAMA


Pengarang :