Peserta membuat persembahan ketika majlis penutup program Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Selangor (IMPAK) Siri 1 anjuran Yayasan Warisan Anak Selangor di Hotel Geno, Shah Alam pada 21 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Program didikan awal kanak-kanak tambah ilmu asuhan di rumah

SHAH ALAM, 22 JAN: Program Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Selangor (IMPAK Selangor) memberi peluang kepada pengasuh di rumah untuk meningkatkan ilmu asuhan.

Salah seorang peserta Mastini Mohd Zain, 39, berkata banyak pengetahuan baharu diperoleh menerusi kursus berkenaan untuk dipraktikkan dalam tugasan harian menjaga kanak-kanak.

Dia yang mula mengasuh sejak empat tahun lalu dan menjaga tiga anak asuhan juga didedahkan dengan pemahaman kreatif untuk aktiviti kanak-kanak bagi merangsang minda mereka.

Mastini Mohd Zain

“Menerusi kursus ini, kita tidak hanya menjaga kanak-kanak tetapi mengisi waktu mereka dengan aktiviti berfaedah dan menjadikan anak-anak lebih berdisiplin,” katanya ditemui Selangorkini.

Seorang lagi peserta Angell Yap Yoke Chen, 43, pula tertarik untuk mengikuti program tersebut kerana berhasrat menjadi pengasuh pada masa akan datang.

“Sesi menarik antaranya penjagaan kesihatan dengan mengamalkan pemakanan sihat dan menghasilkan permainan menggunakan barangan kitar semula yang menjimatkan,” katanya.

Seramai 50 pengasuh mengikuti program IMPAK Selangor yang diadakan selama dua hari bermula kelmarin di sini bagi mendalami ilmu asuhan yang betul.

Program kendalian Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menyediakan latihan secara percuma untuk pengasuh di rumah yang mengasuh anak asuhan tidak lebih tiga orang.


Pengarang :