SHAH ALAM, 22 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI membantu 16,800 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) menyediakan kelengkapan sekolah untuk sesi tahun ini.
Melibatkan belanja hampir RM1.7 juta, ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata agihan menerusi program Bantuan Kembali ke Sekolah diserahkan bermula cuti penggal ini.
Menurut Ahmad Azri Zainal Nor, bantuan RM100 seorang dikhaskan untuk 300 pelajar bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membeli pakaian sekolah atau barangan lain yang diperlukan.
“MBI akan menyerahkan sumbangan ini kepada wakil rakyat setiap DUN awal Februari depan. Kita akan agih secepat mungkin supaya memudahkan urusan penerima,” katanya ketika dihubungi.
Tahun lalu, anak syarikat negeri itu memperuntuk lebih RM10 juta bagi memperkasa sektor pendidikan merangkumi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), bantuan sekolah dan sumbangan infrastruktur.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pemerbadanan itu menyalur bantuan RM25.5 juta kepada agensi pendidikan antara 2021 hingga tahun lalu.