Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor menjawab soalan ketika menjadi tetamu jemputan pada Coffee Talk #KitaSelangor Bukan Sekadar Slogan di Pavilion Selangor, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Kuala Lumpur pada 2 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sedia lebih 1,000 bakul makanan Tahun Baharu Cina, MBI pastikan agihan lancar

SHAH ALAM, 22 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menerima 1,000 permohonan bakul makanan daripada keluarga memerlukan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Ahmad Azri Zainal Nor berkata jumlah itu dijangka meningkat menjelang hari perayaan dan pihaknya bersedia dan memastikan urusan agihan lancar.

“Setakat ini kita terima 1,000 permohonan dari Ahli Dewan Negeri, pusat khidmat dan majlis perwakilan penduduk. Banyak bakul makanan disediakan kerana nanti permintaan akan bertambah.

“Setiap penerima akan dapat makanan kering bernilai RM100. Bantuan ini sedikit sebanyak mengurangkan beban mereka dalam menyediakan keperluan raya,” katanya kepada Selangorkini.

Sebahagian penerima sumbangan barang keperluan mendaftar ketika program Prihatin Tahun Baharu Cina DUN Pandan Indah di Ampang Jaya pada 20 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Ahmad Azri berkata setiap kali sambutan perayaan bukan Islam, 5,000 bakul makanan mengandungi bahan kering antaranya tepung dan gula disediakan bagi membantu golngan kurang berkemampuan.

“Kita bersedia kerana mahu semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama dapat meraikan perayaan masing-masing. Untuk sambutan Ponggal baru-baru ini, kita agihkan 500 bakul,” katanya.

Sebelum ini, beliau memaklumkan anak syarikat milik Kerajaan Negeri memperuntuk RM1 juta bagi menjayakan program bakul makanan sepanjang tahun ini.


Pengarang :