Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPDN harap peniaga tidak naikkan harga jualan susulan pelarasan tarif air

ALOR GAJAH, 23 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berharap peniaga terutama penjual makanan, tidak menaikkan harga jualan selepas penguatkuasaan pelarasan tarif baharu air bermula 1 Februari ini.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata ini kerana pelarasan tersebut hanya merangkumi tarif air dan bukan secara langsung terhadap barangan jualan perniagaan.

“Kita akan melihat (memantau) sebab keputusan untuk menaikkan tarif air adalah keputusan bersama (Kabinet) yang juga melibatkan kerajaan negeri serta Majlis Air Negara.

“Kita akan meneliti sekiranya terdapat unsur-unsur pencatutan (namun) kita harap tak ada sebab ia melibatkan air dan bukan secara langsung barangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Program Jualan IHSAN RAHMAH (PJIR) Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di sebuah pasar raya di pekan Masjid Tanah di sini hari ini.

Pada 17 Jan lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan tarif air bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dilaksanakan bermula 1 Feb ini yang menyaksikan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu air.

— BERNAMA


Pengarang :