SHAH ALAM, 23 JAN: Penduduk sekitar Bukit Gasing berpeluang menukar barangan kitar semula dengan wang tunai menerusi program ‘Trash for Cash’ anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing.
Wakil rakyatnya Rajiv Rishyakaran berkata program tahun ini diteruskan di lokasi sama iaitu di hadapan Pangsapuri Damansara Bistari, Seksyen 19 dan RT Activity Centre, Seksyen 6 Petaling Jaya.
“Selain menggalakkan orang ramai mengasingkan sampah selaras matlamat hijau Kerajaan Negeri, inisiatif ini juga menjana pendapatan sampingan buat mereka yang menukar barangan,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Rajiv, program dengan kerjasama syarikat Trashcycle Malaysia mendapat sambutan penduduk sejak dilaksanakan tahun lalu dengan kira-kira 800 kg barangan kitar semula dikumpulkan pada setiap sesi kutipan.
“Orang ramai boleh menyerahkan barangan di lokasi ditetapkan mulai 10 pagi hingga 12 tengah hari pada setiap Sabtu minggu kedua dan keempat setiap bulan,
“Namun bagi lokasi di Seksyen 6 hanya pada Sabtu minggu keempat sahaja,” katanya.
Selain itu, Rajiv turut memaklumkan pihaknya meneruskan program bantuan guaman percuma kepada penduduk sekitar DUN itu yang memerlukan khidmat nasihat guaman.
“Program ini juga diteruskan dan sebarang pemakluman penganjurannya akan dihebahkan di Facebook,” katanya.