Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunarajah bergambar bersama sebahagian daripada tetamu yang hadir memeriahkan majlis Ponggal Perpaduan DUN Sentosa di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa pada 29 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat Sentosa teruskan tradisi anjur program masyarakat

SHAH ALAM, 23 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa bakal menganjur program utama sepanjang tahun ini bagi mendekati masyarakat setempat.

Dr G Gunaraj berkata antara program ialah ziarah amal, lawatan ke rumah kebajikan warga emas dan kanak-kanak serta jamuan rumah terbuka yang merupakan acara tradisi setiap tahun.

“Menerusi program ini, kita juga boleh mengetahui masalah dihadapi rakyat. Ini dapat membantu mereka selain menyediakan keperluan dan kemudahan lebih baik,” katanya kepada Selangorkini.

Sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang disambut bulan depan, Gunaraj akan mengagihkan 450 baucar bernilai RM200 kepada golongan memerlukan.

Jelasnya, baucar pemberian Kerajaan Negeri itu sebagai usaha meringankan beban penerima dalam menyediakan kelengkapan raya.

“Semoga usaha ini dapat memeriahkan raya mereka. Kita tidak mahu ada rakyat terpinggir dan semua layak bergembira pada perayaan ini,” katanya yang turut mengadakan makan malam bersama ketua komuniti Cina.

Sebelum ini, EXCO pembasmian kemiskinan berkata sebanyak 23,900 baucar beli-belah sempena perayaan Tahun Baharu Cina membabitkan peruntukan RM4.78 juta disediakan tahun ini.

V Papparaidu memaklumkan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk 22 kawasan pembangkang menerima kuota antara 400 hingga 550 baucar mengikut populasi penduduk Cina di kawasan masing-masing.


Pengarang :