Oleh NAS NORZIELA NASBAH
SHAH ALAM, 24 JAN: Seramai 200 pelajar sekolah dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran akan menerima cermin mata percuma.
Wakil rakyatnya berkata bantuan akan diserahkan pada hujung bulan depan dan diharap memberi semangat kepada pelajar terlibat untuk mengikuti sesi pembelajaran.
“Kita akan minta pihak sekolah mendapatkan nama mereka yang benar-benar memerlukan termasuklah saringan pemeriksaan mata.
“Kita berharap dengan sumbangan ini dapat memberi semangat kepada pelajar seterusnya membolehkan mereka menumpukan sepenuh perhatian semasa pengajaran dan pembelajaran dalam kelas,” kata Leong Tuck Chee kepada Selangorkini.
Beliau turut berkata peruntukan untuk sekolah sentiasa menjadi keutamaannya memandangkan institusi pendidikan adalah permulaan dalam melahirkan generasi yang cemerlang.
“Tahun lalu kita telah menyalur lebih RM300,000 kepada 40 buah sekolah di DUN ini. Tahun ini kita akan terus cuba sebaik mungkin untuk melihat keperluan sekolah,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya turut menyerahkan sumbangan 10 kerusi roda untuk kegunaan pesakit di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang.