Pengarah Eksekutif Mydin Mohamed Holdings Berhad Ahimmat Mydin (tengah) bersama 50 penerima bakul makanan Mydin Prihatin selepas merasmikan Mydin Mart cawangan Taman Kinrara, Puchong pada 24 Januari 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mydin agih bakul makanan, ringan beban golongan pendapatan rendah

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

PUCHONG, 24 JAN: Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) menyerahkan sumbangan 50 bakul makanan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) hari ini.

Pengarah eksekutifnya Ahimmat Mydin berkata melalui inisiatif Mydin Prihatin bantuan bakul makanan bernilai RM100 itu bertujuan meringankan beban golongan memerlukan.

“Bukan sahaja menawarkan harga berpatutan untuk penduduk sekitar melalui kedai berkonsepkan komuniti iaitu Mydin Mart tetapi melalui inisiatif Mydin Prihatin kami percaya sumbangan ini dapat meringankan beban mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mydin Mart cawangan Taman Kinrara, di sini hari ini.

Sementara itu penerima bakul makanan Mydin Prihatin, Norrasidah Shaari, 37, bersyukur atas bantuan yang diterima.

Norrasidah Shaari,37. Penerima bakul makanan Mydin Prihatin. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

Malah ibu kepada tiga orang cahaya mata itu turut gembira dengan pembukaan Mydin Mart berhampiran kawasan rumah.

“Sebagai penerima bantuan bakul makanan, saya bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan Mydin kerana meringankan beban kami sekeluarga,” katanya yang juga suri rumah.

Ibu tunggal, Halimah Lah, 53, berkata bantuan makanan Mydin Prihatin dapat digunakan untuk menjalani kehidupan harian.

“Terima kasih Mydin atas bantuan bakul makanan ini.

“Saya juga gembira dengan pembukaan cawangan Mydin Mart di sini kerana harganya berpatutan untuk golongan berpendapatan rendah seperti saya,” katanya.


Pengarang :