Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail (tengah) menjalankan pemeriksaan terhadap motosikal yang dipandu warga asing dalam Operasi Pemandu Warga Asing (PeWA) di sekitar Jalan Genting Klang pada 24 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

71 warga asing ditahan, memandu tanpa lesen, ubah suai kenderaan

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan 71 warga asing termasuk seorang wanita atas pelbagai kesalahan jalan raya menerusi operasi pemandu warga asing (Ops PeWA) di sekitar ibu kota hari ini.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail berkata antara kesalahan dilakukan adalah menggunakan kenderaan persendirian yang diubah suai untuk perniagaan, selain tidak memiliki lesen serta kesalahan teknikal seperti tidak memiliki lampu kenderaan.

Bercakap pada sidang media di ibu pejabat JPJ Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata individu ditahan terdiri darpada 24 warga Pakistan, Myanmar (17), India (15), Indonesia (enam), Bangladesh (lima) dan lain-lain warganegara (empat) berusia lingkungan 25 hingga 48 tahun.

Beliau berkata pemandu warga asing yang menggunakan kenderaan persendirian didapati bekerja sebagai penjual roti bermotosikal, penghantar barangan dapur dan penghantar besi buruk.

“Hasil soal siasat terhadap warga asing mendapati segelintir rakyat Malaysia bekerjasama dengan mereka dan membenarkan atau menyewakan kenderaan kepada golongan itu.

“Oleh itu, tindakan juga dikenakan kepada pemilik berdaftar kerana membenarkan pemandu memandu tanpa lesen dan salah guna Lesen Kenderaan Motor bagi tujuan perniagaan,” katanya.

JPJ turut menyita 66 motosikal, empat kereta dan dua lori barangan dalam operasi itu yang bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari ini, disertai 77 anggota JPJ termasuk Imigresen.

Mohd Zaki berkata pemandu warga asing tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

– BERNAMA


Pengarang :