Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis sambutan Thaipusam peringkat Selangor 2024 di Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves pada 24 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB seru rakyat buang rasa curiga, bersama majukan negeri

GOMBAK, 25 JAN: Rakyat berbilang kaum di Selangor diingatkan supaya mengekalkan semangat perpaduan yang menjadi pemangkin pembangunan dan kemajuan negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata masyarakat penganut setiap agama perlu diberi peluang mengamalkan kepercayaan masing-masing selain perlu membuang perasaan curiga dan kebencian antara satu sama lain.

“Selangor adalah sebuah negeri yang berbilang kaum, negara kita juga terdiri daripada masyarakat yang aman damai walaupun mengamalkan kepercayaan masing-masing.

“Namun, keamanan, kedamaian dan kestabilan akan tergugat jika kita tidak mencuba memahami sahabat kita dari pelbagai kaum. Masyarakat perlu kembali mencari titik persamaan merentasi kaum dan agama demi kemakmuran bersama.

“Kita tidak akan dapat menjadi sebuah negeri yang baik jika setiap hari membangkitkan kecurigaan dan kebencian sesama kita,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis perasmian sambutan Hari Thaipusam peringkat Selangor di Batu Caves malam tadi.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata pentadbiran negeri sentiasa memastikan program pembangunan tidak meminggirkan mana-mana kaum, etnik mahupun agama.

“Kerajaan Negeri sentiasa mencuba sedaya upaya memastikan rakyat yang bernaung di bawah payung  Selangor diberi peluang untuk membangunkan ekonomi dan mengamalkan kepercayaan masing-masing,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hadir ketika majlis sambutan Thaipusam peringkat Selangor 2024 di Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves pada 24 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan bantuan kuil ketika majlis sambutan Thaipusam peringkat Selangor 2024 di Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves pada 24 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :