Oleh NAS NORZIELA NASBAH
SHAH ALAM, 25 JAN: Sebanyak 300 baucar beli-belah bernilai RM200 diagihkan kepada penduduk memerlukan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan sempena Tahun Baharu Cina.
Penyelaras DUN Halimey Abu Bakar menjelaskan baucar berkenaan membolehkan penerima membeli keperluan, sekali gus meringankan beban mereka membuat persiapan menyambut perayaan itu.
“Penerima bantuan baucar sempena perayaan ini menghantar permohonan awal Januari dan mereka yang benar-benar layak telah menerima insentif ini.
“Kita agihkan 300 daripada 400 baucar yang disediakan Kerajaan Negeri, manakala baki belum dituntut mereka yang layak,” katanya ketika dihubungi.
Pada masa sama, Halimey memberitahu sebanyak 700 baucar beli-belah bagi peserta Skim Mesra Usia Emas (SMUE) diagihkan kepada penduduk sepanjang bulan ini.
Beliau turut mengingatkan peserta supaya tidak terburu-buru menuntut baucar berkenaan berikutan ia boleh diambil pada bila-bila masa sepanjang tahun ini.
Kerajaan Negeri menyediakan 23,900 baucar beli-belah sempena perayaan Tahun Baru Cina tahun ini dengan peruntukan RM4.78 juta untuk diagihkan ke setiap DUN.