Umat Islam bersembahyang di Masjidil Haram semasa ziarah haji tahunan di Mekah, Arab Saudi pada 8 Ogos 2019. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

TH nafi dakwaan agih kuota haji kepada syarikat swasta

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menafikan dakwaan mengagihkan kuota tertentu kepada pihak swasta atau Pengendali Jemaah Haji (PJH).

TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kuota haji berjumlah 31,600 yang diberikan kerajaan Arab Saudi adalah mengikut sistem pendaftaran haji terbuka berdasarkan konsep “mendaftar dahulu, didahulukan” yang dilaksanakan sejak 1995.

“Apabila bakal jemaah sudah terpilih di dalam kuota tahunan, mereka boleh memilih sama ada ingin menunaikan ibadat haji melalui TH (Muassasah) atau melalui syarikat PJH yang telah dilesenkan oleh TH.

“Bakal haji yang memilih syarikat PJH adalah mereka yang berkemampuan untuk membayar lebih dari kos haji bagi mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik dari Muassasah,” menurut kenyataan itu.

TH juga berkata dakwaan ia hanya mengendalikan 11,000 jemaah pada tahun ini adalah tidak benar kerana majoriti jemaah haji atau sekitar 70 peratus hingga 80 peratus adalah melalui Muassasah.

Tambahnya, syarikat PJH membuat bayaran kepada TH bagi setiap jemaahnya untuk perkhidmatan dan kemudahan di Tanah Suci termasuk bayaran wajib yang dikenakan Arab Saudi.

TH turut menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan berita palsu yang tular di media sosial, dan bakal jemaah haji dinasihatkan merujuk kepada platform media sosial rasmi TH bagi mendapatkan maklumat sahih, tepat dan terkini.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dirujuk dengan menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.

– BERNAMA


Pengarang :